Wednesday, 15 June 2011

Cinta ke Jordan (intro)

Tetikus di atas meja itu terus ditekan-tekan. Dari satu laman, ke satu laman web dilayari. Seolah-olah tanpa tujuan, fikiran melayang memikirkan hal lain, tetapi mata tetap menghadap PC. Hati ini terus menerawang, mengimpikan impian yang diingini tercapai. Saat senggang petang itu, aku habiskan begitu sahaja. Macam itulah juga yang berlaku dua ke tiga hari lepas. Aku asyik termenung. Hati ini terus memujuk, “sabarlah, masanya akan tiba nanti”. Mungkin betul, aku harus mengikut saja arus, jangan melawan, atau cuba membuat haluan baru. Nanti tak menjadi, aku sendiri yang akan kecewa.

Malam itu, aku berborak dengan rakan sebaya melalui laman social, kawan lelaki yang agak lama aku tak jumpa, memori lalu kembali bermain-main di minda. Kami berborak panjang, bertukar-tukar cerita, seribu satu kisah. Hati ini berbisik, “Fara, ini calon suami buatmu”. Aku menyimpan rasa, ingin saja aku ungkapkan, aku kembali mencintai lelaki ini. Kisah cinta kami dahulu, kembali bersinar-sinar dalam jiwa ini. Tapi tak mungkin, itu cerita lama. Sudah lama kami berpisah. Mungkin cinta itu sudah lenyap dari dalam hatinya, tapi mungkin tidak bagi aku, cinta yang pudar dahulu, sudah kembali menampakkan warna. Aku memberanikan diri, cuba untuk bercerita tentang kisah cinta kami yang lalu. Belum sempat aku berbuat demikian, dia lebih dulu memberi khabar, menyampaikan jemputan, dia, mahu bertunang, seterusnya akan terus melangsungkan perkahwinan tidak lama selepas bertunang. Hati ini tersentap, perasaan ini bercampur-baur, fikiran ini melayang, aku cuba untuk berfikir secra normal. Apa, dia sudah ada pengganti, mungkin, tempoh 5 tahun itu terlalu lama, kami langsung tidak bertanya khabar selepas kami berpisah dahulu. Mungkin kerana itu, dia sudah melupakan aku, cinta yang kami bina dahulu sudah terhakis hingga mungkin dia lansung tidak teringatkan aku, lantas menemui cinta baru. Setelah aku mendapat khabar sebegitu, aku hanya mampu tersenyum, “Ini bukan jodoh aku, aku hanya perasan”. Aku ucapkan tahniah buat dia dan bakal isteri yang tercinta, saat itu juga, tanpa aku sedar, air mata ini menitis membasahi pipi. Malam itu, aku terlena dibuai mimpi, perasaan hati ini masih kabur.

Bangun pagi, tangan ini meraba-raba mencari cermin mata, maklumlah, mata ini kabur, penglihtan tidak jelas. Pagi itu, cukup indah, kabus begitu tebal, selepas mencuci muka, aku ke tepi jendela. Cantik sungguh alam ciptaan tuhan ini. Unggas-unggas berterbangan memulakan hari yang baru, bukit-bukau diseberang sana menyembunyikan diri disebalik kabus, fajar pagi memancarkan pancaran suam-suam kuku, awan nun diangkasa begitu memutih, tanda-tanda hujan tak akan turun pagi ini. Hati ini terus berfikir, alam ini cukup sempurna, tuhan jadikannya dengan begitu indah, dan ciptaan itu pula ada yang berpasang-pasangan. Kalau berpasang-pasangan, aku juga mungkin ada pasangannya, tapi masih belum hadir kasih itu mengisi hati yang kosong ini. Sejak seminggu lalu, aku dihantui dengan satu persoalan, apakah aku akan menjadi andartu, kerana aku masih tidak menemukan calon yang sesuai untuk menjadi peneman hati yang kekal sehingga hujung nyawa. Aku bukan tergesa-gesa untuk bercinta, akan tetapi, teman-teman sekeliling aku kebanyakannya sudah mempunyai pasangan masing-masing. Cinta lama aku pun sudah mahu mendirikan rumah tangga. Tinggallah aku yang masih solo.

Sebaik tamat kelas Sastera pagi itu, aku terus pulang ke asrama. Aku mempercepatkan langkah untuk segera sampai ke asrama, jarak dari kampus untuk ke asrama yang agk jauh menyebabkan perjalanan agak memakan masa. Aku mahu segera melayari internet, ingin memeriksa samaada ada email baru yang akan aku terima dari kawan lelaki yang aku baru kenali sejak sebulan lalu. Aku panggil dia, Farhan. Aku amat tertarik dengan penampilan Farhan yang agak pendiam, kemas dan memiliki personality yang tersendiri. Aku hanya meminati dirinya, bukan lagi ke tahap jatuh cinta, kerana aku masih keliru. Tetapi, kami jarang menghubungi satu sama lain, kerana Farhan agak sibuk menguruskan sesuatu, sesuatu yang penting katanya. Tidak pula aku ingin mengambil tahu apa yang begitu penting hingga menyebabkan Farhan tidak sempat meluangkan masanya. Apa yang aku tahu, Farhan masih solo, dan dia memiliki cirri-ciri lelaki idaman hati. Seorang yang berilmu, penuh kasih-sayang dan menghormati orang tua. Walaupun aku masih baru sahaja mengenali Farhan, tetapi aku dan Farhan seolah-olah sudah kenal lama.

Jari-jemari ini cekap menaip satu persatu huruf pada papan kekunci PC pemberian abah ini. Aku merasa cukup gembira, aku mendapat mesej dari Farhan.

Assalamulaikum Fara. Mungkin mesej yang Farhan berikan ini secara tiba-tiba, tapi harap Fara boleh faham dan terima apa yang Farhan nak tuliskan ini. Farhan hendak beritahu pada Fara, yang Farhan sukakan Fara, maksud Farhan, Farhan cintakan Fara, walaupun tempoh perkenalan kita singkat, tapi apa boleh buat, mungkin ini cinta pandang pertama. Sebenarnya, Farhan pernah berjumpa dengan Fara, mungkin Fara tidak perasan, di kedai buku dulu, masa itu, Farhan nampak Fara, hati Farhan rasa lain, Farhan tahu, Farhan jatuh cinta pandang pertama pada Fara. Farhan cuma simpan perasaan itu. Pada suatu hari, Farhan nampak gambar iras Fara di rumah kawan Farhan, Sakirin. Kalau Fara hendak tahu, Farhan dapat tahu tentang Fara dari Sakirin. Farhan memang yakin, Fara ialah gadis yang Farhan nampak di kedai buku dahulu. Terus Farhan cuba menggagahkan diri mencari profil Fara di sebuah laman social, akhirnya Farhan jumpa. Memang betul, tidak silap lagi, Fara memang cinta pandang pertama Farhan di kedai buku dahulu. Dari situ, kita berkenalan, Farhan memang benar merasakan cinta bila terfikirkan tentang Fara. Tapi, perasaan itu, Farhan simpan, menjadi rahsia Farhan seorang. Suatu hari, Farhan terbaca dalam blog Fara, “Jejak Puteri”. Fara ada menulis mengenai cinta rahsia, Farhan baca artikel yang Fara tulis, Fara menginginkan seorang putera kayangan hadir menemani hati yang kian sepi. Fara memang tidak pandai simpan rahsia, Fara letak gambar Farhan dalam artikel itu. Mungkin artikel itu Cuma menceritakan kisah hidup seharian Fara, tetapi Farhan tidak kisah, Farhan rasa Farhan tidak bertepuk sebelah tangan. Fara, mungkin ini sudah ditentukan tuhan, Fara diciptakan untuk menjadi peneman Farhan. Farhan lah putera kayangan yang Fara tunggu, Fara pula bidadari yang Farhan nanti-nantikan.

FARA…FARHAN CINTAKAN FARA…

Farhan harap, Fara dapat terima apa yang Farhan tuliskan ini. Terima kasih.

Aku tersentak membaca email tersebut, perasaan bercampur-baur, aku berasa kaku, hati ini berteriak, “memang, memang ini saat yang aku impikan selama ini”. Aku terus membalas email tersebut, aku menerima Farhan sebagai peneman hidupku. Seharian itu, aku bagai hidup di dalam dunia sendiri, langkah-langkahku bagai berjalan di atas awan, aku seolah-olah tidak berpijak di bumi sendiri. Aku berada dalam dunia fantasi ciptaan sendiri.

Selepas aku pulang makan malam, aku terima email balas daripada Farhan.

Fara, terima kasih dengan jawapan balas tadi. Farhan sangat gembira. Tetapi Fara, Farhan akan melanjutkan pelajaran ke luar Negara, Farhan rasa, masa untuk Farhan menghubngi Fara akan lebih terbatas. Hampir sebulan Farhan berusaha untuk mendapatkan peluang ini (sambung belajar), Farhan berjaya Fara. Harap Fara tidak kisah, Farhan tetap akan ingatkan Fara. Terima kasih.

Farhan, kau datang secara tiba-tiba, begitu singkat, sekarang kau pergi juga secara tiba-tiba. Aku yakin, cinta kami ini akan tetap mekar. Aku cintakan kau Farhan.

Sudah hampir setahun Farhan di Jordan, hanya beberapa kali sahaja dia sempat menghubungi aku, jika ada peluang pun, kami berbual tidak lama. Tempoh masa antara Jordan dan Malaysia menjadi pemisah. Tatkala di Malaysia sudah siang, di Jordan pula beransur malam. Tatkala aku berjaga melakukan aktiviti seharian, mungkin Farhan sedang lena dibuai mimpi. Begitulah sebaliknya. Kami hanya berbalas-balas email, itupun keesokan harinya email itu akan dibalas. Tempoh ini begitu sukar, cinta ini begitu memenatkan, aku mahu menangis. Cinta itu datang, dan dengan sekelip mata cinta itu memencilkan diri ke Jordan. Hati ini terus berbisik, “Fara, kau harus kuat, bukankah kau kata ini cinta abadi, apakah kau mahu terus menunggu lagi tibanya putera kayangan yang baru, kau harus kuat Fara”.

sudah baca thank you =)

0 orang berbicara:

copyright@SEGALA PENULISAN TERCATIT DI BLOG NIE HAK MILIK CINTA DAN MANUSIA